Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu turun, tiada penularan warga tempatan

SHAH ALAM, 22 JUN: Jumlah kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini turun kepada 15 berbanding 16 semalam tanpa membabitkan penularan dalam kalangan rakyat tempatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah berkenaan dua kes import membabitkan warga Malaysia yang pulang dari Tunisia dan Singapura sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Manakala baki 13 kes adalah penularan tempatan iaitu kes dalam kalangan bukan warganegara,” kata ketua pengarah kesihatan ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan perincian penularan dalam negara, satu kes di Selangor adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang manakala 12 lagi di Negeri Sembilan daripada kluster Pedas.

Beliau berkata 21 pesakit sembuh hari ini menjadikan jumlah pulih 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada yang memerlukan bantuan pernafasan serta jumlah kematian kekal 121 orang.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,587 kes dengan 289 kes aktif kebolehjangkitan.