Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes harian di Selangor naik semula

SHAH ALAM, 11 JUN: Kes harian Covid-19 di Selangor meningkat semula apabila tiga kes baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi.

Tiga kes penularan tempatan membabitkan saringan pusat tahfiz di Hulu Klang, kluster Kampung Sungai Lui dan kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur.

Semalam, pertama kali Selangor mencatatkan sifar kes baharu. Keseluruhannya, negeri itu merekodkan 1,974 kes Covid-19 daripada 8,369 kes di seluruh negara.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat supaya terus berdisiplin mengamalkan norma baharu.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan melonggarkan kebanyakan aktiviti harian tetapi amalan norma baharu perlu dijaga atau boleh dikompaun,” tulisnya di Twitter malam ini.

STFC turut mengisytiharkan mukim Kerling dan Serendah di Hulu Selangor sebagai zon hijau selepas kedua-dua kawasan sifar kes aktif. Hulu Langat dan Sepang kekal dalam zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 31 kes baharu Covid-19 membabitkan 11 kes import manakala selebihnya penularan tempatan. Jumlah kematian kekal 118 orang.