Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pesakit pulih kekal tiga angka, 14 kes baharu

PUTRAJAYA, 18 JUN: Seramai 127 pesakit pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan kes pulih di negara ini kekal tiga angka buat tiga hari berturut-turut, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan keluar daripada hospital adalah 8,000 pesakit iaitu 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Seramai 333 pesakit pulih dicatatkan pada 16 Jun dan 140 pesakit pulih dicatatkan semalam.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 14 kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,529 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 408 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Sehingga kini Dr Noor Hisham berkata, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-BERNAMA