Categories
AGENDA NASIONAL

Fomca gesa kerajaan semak semula tarif elektrik

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan digesa menyemak semula tarif elektrik memandangkan caj yang dikenakan ketika ini membebankan pengguna, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Timbalan pengerusinya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata Fomca juga bersetuju sekiranya ada pihak ketiga tampil menerangkan cara pengiraan bil berkenaan.

“Dalam keadaan ini, kita lihat perlu ada mekanisme yang telus dan dalam masa sama membantu rakyat. Jadi kita lihat pemberian diskaun adalah langkah wajar,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Mohd Yusof, sekiranya masalah masih berterusan, pihaknya menasihatkan pengguna untuk membuat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang mengkaji semula mekanisme bagi menangani aduan bil elektrik tinggi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pengurusan TNB serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama-sama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti beberapa mekanisme untuk menangani rungutan yang disuarakan.