Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tetap sasaran baharu enam juta pelancong tahun ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Tourism Selangor menetapkan sasaran baharu enam juta pengunjung ke negeri itu pada tahun ini selaras kempen Pusing Selangor Dulu!.

Pengurus Besarnya, Azrul Shah Mohamad berkata sasaran tersebut susulan penularan Covid-19  di seluruh dunia sehingga menjejaskan sektor pelancongan.

“Kita sedang memperkasa landasan digital dan sosial media untuk hebahan promosi selain menjalin kerjasama dengan media tempatan serta antarabangsa melalui penganjuran Media FAM Trip.

“Kita turut rancang penganjuran e-Travel Fair 2020 serta memperkasa norma baharu pelancongan dengan memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan keselamatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Azrul Shah yakin mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini seperti tahun sebelumnya dan memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan wabak.

“Kita menggesa semua operator pelancongan menggunakan aplikasi SELangkah, saringan kesihatan di pintu masuk, memastikan jarak sosial, menyediakan cecair pembasmi kuman dan mematuhi garis panduan Persatuan Hotel Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Selangor menyasarkan lapan juta pelancong dengan pendapatan RM15 bilion tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia namun terpaksa dibatalkan susulan Covid-19.