Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kaedah aquaponik, hidroponik diperluas, tingkat keluaran – EXCO

SHAH ALAM, 24 JUN: Kaedah menggunakan aquaponik dan hidroponik diperluaskan kepada pekebun komuniti di bandar negeri ini bagi meningkatkan pengeluaran hasil agro pertanian.

EXCO Pertanian berkata kaedah penanaman moden kawasan kecil di bandar perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya memberi pulangan tinggi kepada pekebun.

“Tanaman aquafonik memerlukan kawasan yang kecil malah satu per empat ekar sudah mencukupi dengan binaan penghadang hujan selain menghasilkan sayur-sayuran dan ikan bernilai tinggi serta bermutu.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Begitu juga hidrofonik yang boleh dibuat di luar atau dalam rumah penghadang hujan. Keadaan tanah dan cuaca tidak menjadi masalah kerana menggunakan media cecair serta baja mesra alam,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya sedia memberi sokongan dan khidmat nasihat bagi menggalakkan lebih ramai komuniti di bandar berkebun sekali gus merealisasikan pertanian agro bandar.

“Bantuan input organik yang mesra alam dan benih diberikan kepada komuniti di bawah pihak berkuasa tempatan terutama di bandar supaya hasil agro dapat ditingkatkan,” katanya.

Konsep akuaponik adalah antara teknologi dalam pertanian menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air).

Selain itu, tanaman akuaponik juga tidak menggunakan baja kimia sebaliknya menggunakan baja daripada sisa perkumuhan ikan ternakan.