Categories
AGENDA NASIONAL

KKM terus saringan Covid-19 walau kes turun

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan operasi saringan Covid-19 walaupun jumlah hanya dua kes baharu positif direkodkan hari ini, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hishham Abdullah berkata sebanyak 27,000 sampel diuji namun tumpuan saringan tetap diutamakan kepada sembilan kumpulan sasar disenaraikan sebelum ini.

“Kalau kita lihat setiap kumpulan contohnya pusat jagaan warga emas ada pertambahan kes dan pusat (jagaan) juga. Jadi saringan masih dijalankan seperti biasa tetapi kadarnya seperti dijangkakan semakin berkurangan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Hari ini, dua kes positif baharu direkodkan iaitu angka terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dengan jumlah keseluruhan 8,338 kes.

Bagaimanapun, pertambahan satu kes kematian membabitkan warganegara Malaysia berusia 61 tahun yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling mencatatkan keseluruhan 118 kematian.