Categories
SELANGOR

MB: Komitmen agensi, pemimpin setempat sepanjang PKP dihargai

SHAH ALAM, 16 JUN: Agensi kerajaan dan pemimpin setempat merupakan golongan yang berperanan penting membantu Kerajaan Negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komitmen dan sokongan pihak tersebut  membantu melancarkan proses sumbangan kepada penduduk terjejas.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sentiasa bersama-sama dengan pentadbiran Kerajaan Negeri selama ini.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan sumbangan kepada golongan memerlukan terutama mereka yang banyak berbakti, memelihara dan menjaga masyarakat setempat sepanjang PKP,” katanya pada Program Jelajah Silaturahmi DUN Sungai Tua pada Sabtu lalu.

Pada majlis tersebut Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Masjid Jamek Al -Amaniah, Gombak dan RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves bagi menaik taraf infrastruktur.

Amirudin berkata pelaksanaan PKP tidak akan menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk terus menjaga kebajikan dan memartabat rakyat.

Sementara itu imam masjid, Abu Dzar Mohd Ghazali menzahirkan kesyukuran dengan sumbangan diberikan Kerajaan Negeri.

“Sumbangan ini akan digunakan pihak masjid untuk membaiki beberapa kemudahan di masjid, terutama bumbung bagi memberi keselesaan kepada jemaah,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Yang Dipertua PIBG Mohd Ali Reduan yang berkata sumbangan tersebut  digunakan sebaik mungkin bagi memberi keselesaan serta manfaat kepada pelajar.