Categories
AGENDA NASIONAL

Pelarian Rohingya ceroboh perairan negara akan disaring

SHAH ALAM, 9 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan saringan Covid-19 ke atas 269 pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya yang dikesan menceroboh kawasan perairan Pulau Langkawi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu akan dibincangkan bersama menteri-menteri kanan sebelum tindakan susulan diambil terhadap mereka.

“Semalam, memang ada pendaratan dari (etnik) Rohingya tetapi apa yang pasti kesemuanya akan disaring untuk mengesan kes Covid-19 dan kita akan bincang tindakan seterusnya harus diambil bersama pelbagai agensi, bukan dengan KKM sahaja,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah KKM bagi membendung Pati supaya tidak memasuki negara dan membawa penularan Covid-19 kepada rakyat tempatan.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi semalam, kelibat bot membawa 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan dilihat memasuki perairan negara di Pantai Teluk Nibong, Langkawi.

Pada masa sama, 53 daripada mereka dilaporkan terjun ke laut selepas bot itu karam dan berenang menuju ke pantai sebelum ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).