Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelawat asing dapat ‘lampu hijau’ masuk Malaysia untuk perubatan

SHAH ALAM, 19 JUN: Kemasukan pelancong asing untuk perubatan dibenarkan tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun, mereka perlu mendaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia dan menjalani saringan Covid-19 di negara masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

“Jika tidak, pelancong asing wajib berbuat demikian di pintu masuk Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari,” menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kemasukan kumpulan ekspatriat membabitkan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat juga dibenarkan selagi menjalani saringan sebelum berlepas ke Malaysia.

“Jika negatif (Covid-19), mereka tidak perlu dikuarantin wajib tetapi jika datang dari zon merah, mereka perlu kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata kebenaran turut diberikan kepada pakar teknikal asing bagi kerja-kerja khas tetapi perlu memohon visa secara dalam talian dan menjalani saringan.

Sementara itu, katanya, rakyat Singapura dan Brunei boleh memasuki Malaysia, namun tertakluk kepada syarat timbal balas kedua-dua negara.

“Kita memerlukan kelonggaran sama diberikan kepada rakyat Malaysia dan perkara ini sedang dibincangkan antara Wisma Putra bersama Kementerian Luar negara tersebut,” katanya.