Categories
PBT SELANGOR

Peniaga digesa tegas tegur pengunjung patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 JUN: Peniaga diminta bersikap tegas menegur pengunjung premis makanan supaya mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak tindakan penguatkuasaan, kata timbalan datuk bandar Shah Alam.

Mohd Rashidi Ruslan berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima aduan kegagalan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan pengunjung tidak terlepas daripada tindakan undang-undang iaitu hanya dua individu sahaja dibenarkan makan di satu meja.

“Apa pun kerjasama pemilik premis dan pengunjung adalah perlu untuk memastikan kita sendiri mematuhi SOP supaya rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Kelonggaran diberikan kerajaan perlu dipatuhi sebaiknya agar kita dapat menjalani kehidupan norma baharu,” katanya ketika sidang media selepas Operasi Pemantauan Kedai Makan dan Restoran hari ini.

Sementara itu, dua premis makanan diarahkan tutup serta merta selama 14 hari selepas gagal mematuhi peraturan MBSA dalam operasi di pusat perniagaan Seksyen 19 di sini.

Tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal memastikan kebersihan premis, tidak menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta tiada tanda penjarakan sosial.

Operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam itu membabitkan 117 penguat kuasa.