Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak periksa rumah pantau SOP sepanjang PKPP

SHAH ALAM, 14 JUN: Tiada lagi pemeriksaan di setiap rumah oleh polis untuk memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu berkenan kini menjadi tanggungjawab diri sendiri menjaga keselamatan keluarga daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Walaupun tidak ada polis untuk mengawal, demi keselamatan diri kitalah yang perlu menjaga diri sendiri dan keluarga. Tidak ada petugas hadapan, maka kitalah yang sepatutnya menjadi petugas hadapan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada sambutan hari raya lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan aktiviti ziarah rentas daerah pada hari pertama sahaja dan terhad kepada 20 orang pada satu masa.

Bagimanapun beberapa individu berdepan tindakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.