Categories
SELANGOR

Sabak Bernam kembali zon hijau – STFC

SHAH ALAM, 27 JUN: Sabak Bernam kembali menjadi zon hijau selepas merekodkan sifar kes aktif Covid-19, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Daerah tersebut kali pertama berstatus zon hijau pada 28 Mei namun berubah kepada zon kuning pada 9 Jun selepas satu kes direkodkan di mukim Pancang Bedena.

“Selepas tujuh hari, Selangor memiliki semula daerah zon hijau iaitu Sabak Bernam. Jadikan ini sebagai permulaan Selangor sentiasa ke hadapan dan menjadi negeri zon hijau sepenuhnya nanti.

“Jangan langgar tatacara operasi piawai (SOP) supaya kita dapat memastikan momentum positif ini berterusan. Amalkan norma baharu dan sentiasa saling berpesan-pesan mengelakkan jangkitan,” katanya.

Selangor merekodkan tiga kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,039 kes, manakala kes aktif 34.