Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sedia pelbagai peruntukan, Selangor prihatin bantu usahawan agro

SHAH ALAM, 8 JUN: Pelbagai bantuan disalurkan kepada usahawan agro bagi memastikan kebajikan mereka terbela terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan meliputi peruntukan RM1.5 juta untuk petani, penternak, nelayan serta industri asas tani supaya keupayaan dan kapasiti bagi kelangsungan bekalan makanan dipertingkatkan.

“Selangor sentiasa prihatin dengan usahawan agro dalam sektor agrikultur dan akuakultur selaras agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu hentikan kelaparan, capai keselamatan makanan dan pemakanan lebih baik dan mempromosikan pertanian mampan,” tulisnya di Twitter hari ini.

Beliau berkata sejumlah RM500,000 turut diperuntukkan untuk Bantuan Makanan Asas kepada usahawan tani berpendapatan bersih RM1,500 ke bawah.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan program Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi dan satu pasar borong untuk memasarkan hasil pertanian segar.

Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai jualan sebanyak RM13 juta sejak dilancarkan pada 27 Mac lalu.