Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bincang SOP salun, pasar malam dengan PBT hari ini

SHAH ALAM, 10 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi membuka semula beberapa aktiviti perniagaan di Selangor akan dikeluarkan selepas perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.

Dato’ Menteri Besar memutuskan perkara tersebut selepas menerima SOP daripada Telegram rasmi Majlis Keselamatan Negara malam tadi.

“Jadi, esok (hari ini) kita akan bermesyuarat bagi melaksanakan SOP tersebut di peringkat PBT,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter malam tadi.

Sebelum itu, Amirudin memaklumkan belum menerima maklum balas daripada Putrajaya berhubung garis panduan operasi perniagaan di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berkuat kuasa hari ini.

Pada 6 Jun lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan beroperasi mulai hari ini.

Kebenaran turut diberikan untuk operasi pasar pagi, pasar malam, pasar terbuka dan bazar mulai 15 Jun.