Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sedia dana RM100 juta, bantu perusahaan kecil terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) mendepani cabaran ekonomi pasca-Koronavirus baharu (Covid-19).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq membantu syarikat PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan.

“Menerusinya, golongan seperti kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran kerja dalam tempoh singkat sekali gus membantu mereka memiliki dana mencukupi untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“Inisiatif tersebut akan diperkenalkan kepada syarikat yang berurus niaga dengan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan sebelum dikembangkan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata pendaftaran bermula 1 Julai dan maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.selangoradvance.com.my, e-mel [email protected] atau hubungi 018-282 8502.

“Diharapkan inisiatif ini meningkatkan keupayaan syarikat PKS di Selangor untuk terus berdaya maju sekali gus menyelamatkan perniagaan dan pekerja dalam kegetiran ekonomi,” katanya lagi.

Dana untuk pelaksanaan Selangor Advance sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lalu.