Categories
SELANGOR

Selangor Advance diteruskan babit dana RM300 juta

SHAH ALAM, 26 NOV: Program Selangor Advance diteruskan tahun depan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulihkan aliran tunai dengan pinjaman dana RM300 juta.

Inisiatif itu bakal menyelamatkan 150,000 peluang pekerjaan dan 5,000 PKS daripada ditutup atau pemberhentian operasi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha bagi menjamin kelestarian ekonomi termasuk peruntukan daripada Kerajaan Negeri, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan.

“Dianggarkan jumlah ini dapat membuat kitaran jumlah pembiayaan kepada industri kecil dan sederhana sehingga RM1 billion bagi 2022 ke 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tampil idea luar kotak untuk cipta peluang kerja baharu

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak untuk menjamin serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu antaranya menerusi pelaksanaan Selangor Advance, Selangor Freelancer, Niaga Darul Ehsan serta perumahan mampu milik berkualiti seperti Rumah Idaman.

Katanya, turut dilaksanakan pengkhususan dalam kesihatan awam untuk menangani penularan Covid-19 seperti saringan berskala besar serta bantuan pantas kepada golongan terkesan.

“Generasi hari ini terpaksa mewarisi dunia yang bakal menghadapi cabaran berlainan berbanding generasi terdahulu

“Antaranya isu perubahan iklim, perumahan mampu milik, model pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia, peluang dan kualiti pekerjaan baharu serta sistem kewangan lebih adil dan saksama,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kemerdekaan ke-64.

Justeru, beliau berkata cara dan pendekatan yang digunakan untuk menangani perkara tersebut amat penting kerana generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21.

Dalam masa sama, Amirudin turut mengajak generasi muda untuk memahami, mendalami dan menghargai usaha dan pengorbanan generasi terdahulu.

“Kesedaran ini penting bagi memastikan generasi muda tidak terkeluar daripada rasa kekitaan dalam memelihara identiti kebangsaan yang menjadi hak bersama kita semua.

“Tun Abdul Razak pernah berpesan kita bertanggungjawab mengisi kemerdekaan dengan membina satu bangsa (daripada rakyat berasal pelbagai bangsa) yang mempunyai taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Advance selamatkan 50,000 individu hampir hilang kerja

SHAH ALAM, 24 OGOS: Program Selangor Advance menyelamatkan pekerjaan 50,000 individu daripada 900 syarikat yang mengalami masalah aliran tunai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diperkenal dalam Pakej Selangor Prihatin sebelum ini diteruskan menerusi Pakej Kita Selangor dengan memberi kemudahan tunai kepada syarikat terbabit untuk terus beroperasi ketika penularan Covid-19.

“Selangor Advance bantu 900 syarikat dan lebih 50,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan kerja kalau aliran kewangan tidak dibantu,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab serentak soalan empat Ahli Dewan Negeri yang meminta penjelasan berhubung usaha kerajaan membantu syarikat terjejas akibat penularan Covid-19 dan isu berkaitan ekonomi negeri.

Soalan dikemukakan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), Dr Daroyah Alwi (PPBM-Sementa), Lau Weng San (PAKATAN-Banting) dan Dato’ Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong).

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pelbagai inisiatif diperkenal menerusi beberapa pakej rangsangan sejak tahun lalu dapat memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Amirudin, transformasi pendigitalan perniagaan Kerajaan Negeri seperti membantu lebih 70,000 syarikat PKS yang berniaga dalam talian di platform terkenal.

“Hasil daripada RM7 juta dibelanjakan berjaya mencatat jualan langsung RM100 juta dan memberi kesan ekonomi melebihi RM1 bilion,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lulus RM472 juta dana bantu usahawan kecil

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan lebih RM472 juta dana menerusi program Selangor Advance bagi membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pembiayaan itu diluluskan menerusi dana tambahan sebanyak RM200 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

“Sebagai usaha memastikan kelangsungan PKS di waktu pandemik ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Selangor Advance yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan yang mudah dan fleksibel.

“Pembiayaan ini dapat membantu memastikan kelangsungan aliran tunai syarikat yang akan menjamin peluang pekerjaaan dan kebajikan para pekerja,” Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Untuk keterangan lanjut mengenai inisiatif berkenaan, usahawan PKS boleh layari http://www.selangoradvance.com.my

Pada Jun, Amirudin Shari mengumumkan dana tambahan sejumlah RM200 juta untuk program Selangor Advance demi mengukuhkan daya saing perniagaan sekaligus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

Peruntukan tersebut terkandung di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Advance bantu bayar gaji pekerja, terus operasi syarikat

SHAH ALAM, 15 JUN: Pandemik Covid-19 yang menular sejak awal tahun lalu menjejaskan banyak syarikat termasuk Dasar Jati Sdn Bhd yang beroperasi di Bangi.

Masalah aliran kewangan menyebabkan pengarah syarikat itu, Mohd Anfal Mohd Yusof dan rakan kongsinya hampir membuat keputusan untuk membayar gaji 25 pekerja secara berperingkat bukan sekali bayar seperti lazimnya.

Namun pengenalan inisiatif Selangor Advance yang menyediakan dana RM100 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin fasa dua diumumkan Jun tahun lalu memberi sinar kepada syarikat itu.

Beliau berkata sebaik sahaja dilancarkan pihaknya terus memohon bagi mendapatkan pembayaran kerja-kerja membangunkan sistem Selangor Tutor secara dalam talian untuk Yayasan Selangor.

“Dana diluluskan dalam tiga minggu minggu sahaja, dapat kami bayar gaji pekerja dengan penuh dan syarikat terus beroperasi.

“Inisiatif Selangor Advance baik kerana mempercepatkan pembayaran, kami sokong diteruskan tetapi harus ada tambah baik antaranya menyediakan modal pusingan awal kepada syarikat mendapat projek Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal pada Jun tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.

Pada Rabu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana tambahan sejumlah RM200 juta untuk program Selangor Advance demi mengukuhkan daya saing perniagaan dam menyelamatkan syarikat dan pekerja.

Peruntukan tersebut terkandung di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dana tambahan RM200 juta bantu kelangsungan operasi syarikat PKS

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri menyuntik dana tambahan RM200 juta bagi skim pembiayaan tunai Selangor Advance untuk menyelamatkan pekerja dan kelangsungan operasi syarikat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana disumbangkan melalui simpanan tetap tunai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta anak syarikat Kerajaan Selangor.

“Langkah ini dapat meningkatkan sokongan ekosistem Kerajaan Negeri kerana pelaburan ini akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pelabur.

“Sejak dilaksanakan tahun lalu,sebanyak 300 syarikat industri kecil dan sederhana (PKS) melibatkan 25,000 pekerja berjaya diselamatkan,” katanya ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau berkata jenis pinjaman ditawarkan antaranya pembiayaan rantaian bekalan atau kontrak am, jaminan bank dan surat jaminan kredit, surat akujanji, surat sokongan, modal pusingan serta pembiayaan bercagaran dan terjamin.

Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.

Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor Advance agih RM75 juta bantu PKS terjejas

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak RM75 juta di bawah skim pembiayaan tunai Selangor Advance diguna membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pembiayaan tersebut memastikan kelangsungan serta mengukuhkan daya saing perniagaan sekali gus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

“Peruntukan RM75 juta dicairkan membantu kitaran ekonomi PKS mendepani cabaran semasa, selain turut memberi baucar pelancongan dan melaksanakan projek Rumah Selangorku dan IDAMAN bagi merancakkan ekonomi.

“Untuk meningkatkan daya saing rakyat pula, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif e-Dapur, e-Bazar, Selangor Kerjaya, Roda Darul Ehsan, Rakan Digital dan pelbagai bentuk bantuan lagi,” kata Dato’ Seri Amiruddin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung inisiatif Kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada 22 Jun Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS.

Sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq membantu syarikat PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Advance dibuka esok, bantu usahawan IKS

SHAH ALAM, 30 JUN: Permohonan Selangor Advance mula dibuka esok bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terkesan akibat Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bertujuan mempercepat aliran tunai untuk memulihkan ekonomi golongan berkaitan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Permohonan boleh dibuat menerusi www.selangoradvance.com.my dengan melengkapkan butiran seperti nama, emel, nama syarikat dan jawatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di laman sesawang amirudinshari.com .

Beliau berkata tempoh bayaran dibuat selama dua hari dengan syarat pemohon perlu mengemukakan dokumen lengkap.

Katanya, pada peringkat awal Selangor Advance diperkenalkan bagi kerja perolehan, kontrak dan kerja ditender di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri khususnya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) sebelum dikembangkan ke pihak berkuasa tempatan (PBT) seterusnya seluruh aktiviti ekonomi pentadbiran di Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sedia dana RM100 juta, bantu perusahaan kecil terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) mendepani cabaran ekonomi pasca-Koronavirus baharu (Covid-19).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq membantu syarikat PKS dalam isu aliran tunai untuk meneruskan perniagaan.

“Menerusinya, golongan seperti kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran kerja dalam tempoh singkat sekali gus membantu mereka memiliki dana mencukupi untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“Inisiatif tersebut akan diperkenalkan kepada syarikat yang berurus niaga dengan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan sebelum dikembangkan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata pendaftaran bermula 1 Julai dan maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.selangoradvance.com.my, e-mel [email protected] atau hubungi 018-282 8502.

“Diharapkan inisiatif ini meningkatkan keupayaan syarikat PKS di Selangor untuk terus berdaya maju sekali gus menyelamatkan perniagaan dan pekerja dalam kegetiran ekonomi,” katanya lagi.

Dana untuk pelaksanaan Selangor Advance sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Advance bantu kembang aliran tunai – MB

SHAH ALAM,28 MEI: Selangor Advance bakal dilancarkan bagi membolehkan kontraktor dan pengusaha kecil sederhana (PKS) yang terbabit dalam projek Kerajaan Negeri menerima bayaran dalam tempoh lebih singkat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang dijangka dilancarkan pada Ogos atau September itu dapat meningkatkan aliran tunai seterusnya membantu perkembangan ekonomi.

“Sebagai permulaan, Selangor Advance akan dikembangkang kepada mereka yang terbabit dengan projek Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) sebelum diluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika sesi temu bual dalam talian di Program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

Melalui Selangor Advance, Amirudin menjelaskan kontraktor atau PKS akan menerima bayaran kerja dalam tempoh 14 hari sahaja berbanding sebelum ini antara satu hingga tiga bulan.

“Bagi tender kerajaan kita akan lakukan undian secara dalam talian. Pelaksanaan tender dapat memastikan ekonomi berjalan kembali dan berlaku kitaran wang tunai,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor melancarkan dua fasa Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin bernilai RM400 juta bagi membantu semua pihak yang terbeban susulan penularan Covid-19.