Categories
PBT SELANGOR

Sembelih haiwan di pasar, MPS keluar notis pematuhan

SHAH ALAM, 12 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan enam notis pematuhan kepada beberapa peniaga di dua pasar awam selepas dikesan menjalankan aktiviti penyembelihan haiwan menerusi operasi pemantauan semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata tiga notis untuk menghentikan aktiviti itu masing-masing diberikan kepada kumpulan berkaitan di Pasar Moden Bandar Country Homes dan Pasar Moden Rawang.

“Sembilan kompaun turut dikenakan kepada mereka dengan tiga daripadanya penguatkuasaan alam sekitar atas kesalahan effluen kerana mengeluarkan air sisa ke longkang.

“Enam kompaun lagi di bawah Seksyen 29(d), Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar bagi kesalahan halangan dengan meletakkan barang-barang perniagaan di kaki lima,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti di pasar termasuk mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang ingkar peraturan serta undang-undang.

Operasi disertai wakil Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perlesenan, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.