Categories
PBT SELANGOR

Ganggu parkir awam, MPS sita khemah pengusaha bengkel kenderaan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meroboh dan menyita khemah milik pengusaha bengkel kenderaan di Jalan SBC 3, Taman Sri Batu Caves, Gombak.

Pengarah Jabatan Korporatnya berkata tindakan dibuat pada Isnin selepas pengusaha bengkel terbabit meletakkan khemah di kawasan parkir kereta sehingga mengganggu orang ramai.

“Satu notis halangan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133) dikeluarkan kepada pihak berkaitan bagi mengalihkan sendiri halangan itu pada 30 Julai lalu.

“Bagaimanapun, peniaga gagal berbuat demikian dalam tempoh diberikan,” kata Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Beliau berkata peniaga diberi amaran supaya sentiasa mematuhi peraturan seperti dalam syarat lesen perniagaan dan tidak mendirikan atau meletakkan sebarang halangan di kawasan awam.

Categories
PBT SELANGOR

Sembelih haiwan di pasar, MPS keluar notis pematuhan

SHAH ALAM, 12 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan enam notis pematuhan kepada beberapa peniaga di dua pasar awam selepas dikesan menjalankan aktiviti penyembelihan haiwan menerusi operasi pemantauan semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata tiga notis untuk menghentikan aktiviti itu masing-masing diberikan kepada kumpulan berkaitan di Pasar Moden Bandar Country Homes dan Pasar Moden Rawang.

“Sembilan kompaun turut dikenakan kepada mereka dengan tiga daripadanya penguatkuasaan alam sekitar atas kesalahan effluen kerana mengeluarkan air sisa ke longkang.

“Enam kompaun lagi di bawah Seksyen 29(d), Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar bagi kesalahan halangan dengan meletakkan barang-barang perniagaan di kaki lima,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti di pasar termasuk mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang ingkar peraturan serta undang-undang.

Operasi disertai wakil Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perlesenan, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

Categories
PBT SELANGOR

MPS roboh pondok tokong, pemilik ingkar arahan

SHAH ALAM, 7 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meroboh pondok tokong dibina di atas rizab Jalan Bidara pada 4 Februari lalu berikutan kegagalan pemilik mematuhi arahan, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata pihak itu ingkar bagi memindahkan operasi dalam tempoh enam bulan atau selewat-lewatnya 1 Julai walaupun sudah diberi surat peringatan.

“Tindakan diambil selaras tatacara operasi piawai (SOP) penguatkuasaan MPS yang menjalankan tindakan perobohan jika tiada pemilik selepas tiga hari notis dikeluarkan pada 23 Januari lalu.

“Sebarang pembinaan struktur di tempat awam perlu mendapat kelulusan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata kenyataan pemilik tersebut bahawa pegawai MPS memberi penangguhan sehingga 7 Februari adalah tidak sah kerana bercanggah dengan keputusan mesyuarat.

Categories
SELANGOR

Peniaga biar sisa dan darah ayam atas lantai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 8 FEB: Memualkan, itulah yang dapat digambarkan apabila segelintir peniaga di Pasar Borong Selayang membiarkan sisa dan darah ayam di atas lantai.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad berkata, lebih memburukkan keadaan apabila peniaga turut membiarkan darah ayam berkenaan masuk ke longkang awam.

“Disebabkan itu peniaga dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 21(1)d.

“Peniaga turut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 74 kerana membiarkan bahagian dalam belakang premis iaitu tempat penyimpanan ayam segar berada dalam keadaan kotor, sementara kompaun mengikut Seksyen 6 kerana tidak mempunyai tong sampah yang tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Tempat Penyembelihan Ayam Tanpa Permit di sempadan Pasar Borong Selayang, semalam.

Operasi itu turut melibatkan seramai 10 orang penguatkuasa MPS yang diketuai Pembantu Penguatkuasa Kanan, Mohd Zahari Mohd Ali dengan kerjasama anggota Jabatan Imigresen dan anggota Polis Diraja Malaysia.

Mohamad Zin berkata, pada masa sama, operasi bersepadu itu juga berjaya menahan seorang pendatang tanpa izin kerana tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

“MPS akan terus memastikan peniaga menjaga kebersihan bagi menjamin jualan dalam keadaan baik bagi mengelakkan timbulnya masalah kesihatan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS catat 561 kes denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan kes denggi sebanyak 561 kes daripada November tahun lalu hingga Januari ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, bagaimanapun kes berkenaan di 76 lokaliti itu masih terkawal.

“Sebanyak 15 lokaliti ‘hotspot’ wabak denggi dalam tempoh lebih 60 hari disenaraikan masing-masing di daerah Sungai Tua (Kampung Sungai Tua Bharu, Apartment Laksamana), Gombak Setia (Flat Pinggiran Batu dan Kampung Changkat 23).

“Selain itu, Taman Sahabat, Kampung Simpang 3, Jalan Dewan, Taman Sri Gombak Pasar), Paya Jaras (Kampung Sri Indah A, Kampung Melayu Sungai Buloh, Kampung Matang Pagar, Apartment Impian Indah) dan Kuang (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zin berkata, sebanyak tiga lokaliti wabak tidak terkawal direkodkan iaitu di daerah Templer ( Kuaters IPD Gombak Zon A dan Selayang Baru Zon 16 ) dan Sungai Tua (Apartment Seri Gohtong).

Katanya, faktor penularan wabak denggi itu ekoran cuaca tidak menentu serta peningkatan pergerakan orang awam.

“Bagi langkah pencegahan, MPS menyeru orang ramai terutamanya bagi mereka yang berada di lokasi ‘hotspot’ wabak denggi untuk mengambil pendekatan misalnya semburan aerosol bagi membunuh nyamuk Aedes di kawasan rumah.

“Penduduk juga disaran meletakkan ubat jentik-jentik (Abate) ke dalam bekas takungan air di sekitar rumah dan memakai krim perlindungan nyamuk,” katanya.

Beliau berkata, MPS akan menggerakkan aktiviti gotong-royong membabitkan kerjasama bersepadu dengan Ahli Majlis, agensi yang berkaitan dan juga orang awam bagi membendung peningkatan kes denggi.