Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC latih lebih 30 petugas kesihatan, jejak kontak Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Pasukan Petugas Khas Covid-19 (STFC) melatih lebih 30 kakitangan kesihatan sejak 20 Mei lalu untuk mengesan penjejakan kontak melalui Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan keupayaan itu sehingga kini lebih 250 carian dijalankan daripada 14 juta log pengunjung yang mendaftar menerusi aplikasi tersebut.

“Untuk tempoh permulaan, carian kontak ini menggunakan dua sistem iaitu SELangkah dan MySejahtera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Justeru, dalam masa terdekat pengguna boleh menggunakan aplikasi dikendali kementerian untuk mengimbas Kod QR SELangkah selain menggunakan kemudahan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata penguatkuasa dari pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan juga boleh menggunakan sistem berkaitan bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan tatacara operasi piawai pembukaan ekonomi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Kerajaan Negeri berharap dengan usaha ini akan memudahkan urusan petugas barisan hadapan menjejak kontak sekali gus melancarkan kegiatan ekonomi ketika situasi pandemik,” katanya.