Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Kaedah prorata caj elektrik turut digunakan negara luar

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pengiraan tarif bil elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan kaedah prorata turut digunakan syarikat utiliti di negara lain seperti Australia dan Eropah.

“Kaedah ini juga disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga,” kata Ketua Pegawai Runcit TNB Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam satu temu bual di program Buletin Utama TV3.

Beliau berkata kaedah tersebut untuk memastikan pengguna tidak dikenakan caj berlebihan, malah kaedah ini adalah tepat.

Ia membolehkan kadar tarif yang digunakan berdasarkan penggunaan bulanan dan bukan mengikut jumlah penggunaan terkumpul dalam tempoh bil bacaan sebenar yang biasanya meliputi tiga hingga empat bulan.

“Katakan penggunaan elektrik sebanyak 1,400 kilowatt per jam (kWj). Kami akan membahagikan 1,400 kWj kepada empat bulan iaitu Mac, April, Mei dan Jun. Selepas itu, kita akan mendapat jumlah untuk sebulan iaitu 350 kWj,” katanya.

TNB menganggarkan penggunaan elektrik dalam sektor kediaman meningkat antara 20 hingga 50 peratus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penggunaan lebih tinggi selain lebih banyak syarikat yang membenarkan pekerja bekerja dari kediaman masing-masing.

Oleh itu, katanya pengguna perlu bersedia untuk menerima bil elektrik bacaan sebenar yang lebih tinggi daripada bil anggaran berikutan bil anggaran berdasarkan penggunaan bil pada Februari yang lebih rendah berbanding semasa tempoh PKP.

Megat Jalaluddin berkata TNB juga terus prihatin terhadap pengguna dengan menawarkan pelan bayaran mudah dan diskaun elektrik berperingkat sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan elektrik.

Bermula Jun, sebanyak 3.5 juta pelanggan di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan mula menerima bil bacaan sebenar mereka manakala bil bacaan sebenar untuk empat juta lagi pelanggannya telah diedarkan mulai 15 Mei.

Beliau berkata jika penggunaan elektrik adalah lebih rendah semasa tempoh PKP (mungkin terperangkap di kampung kerana bercuti sebelum PKP berkuat kuasa), lebihan caj akan dikreditkan semula kepada pengguna.

-BERNAMA