Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tak patut selindung angka sebenar kemiskinan negara

SHAH ALAM, 11 JULAI: Masalah kemiskinan negara gagal dibasmi jika fakta sebenar situasi itu disembunyikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata kadar kemiskinan sebanyak 0.4 peratus tidak munasabah berbanding yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Situasi di Selangor, Kuala Lumpur serta lebih parah bagi Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu apabila paras kemiskinan didapati lebih tinggi.

“Oleh itu, perlu penelitian semula. Jika kerajaan andaikan ada satu juta rakyat miskin, maka kena selesaikan masalah satu juta rakyat miskin,” katanya ketika siaran langsung di Facebook semalam.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata kerajaan Perikatan Nasional tidak bersungguh mengatasi isu kemiskinan meskipun membuat kenyataan untuk menelitinya semula.

“Kerajaan kena terima kenyataan bahawa kemiskinan amat ketara terutama bagi Melayu juga bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan dan kemudahan kesihatan serta prasarana pendidikan perlu berganjak bagi membolehkan masalah ini diatasi,” katanya.

Tahun lalu, bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Philip Alston berkata paras garis kemiskinan di Malaysia yang terlalu rendah iaitu 0.4 peratus tidak konsisten dengan kos kehidupan.

Katanya, garis kemiskinan serendah itu tragik bagi negara yang hampir mencapai status berpendapatan tinggi malah maklumat tidak tepat juga menyebabkan dasar kerajaan hanya dilaksanakan secara umum.