Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Trend pekerjaan berubah, MBM seru masyarakat bantu kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak belia dan seluruh lapisan masyarakat untuk menyertai Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), dalam membantu kerajaan merancang arah perkembangan pembangunan yang ingin dilaksanakan.

Presidennya Jufitri Joha berkata trend belia dari segi pekerjaan sudah berubah berbanding sedekad lalu lebih-lebih rentetan kesan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai belia di Malaysia, dibuang kerja.

“Penglibatan mereka dalam ekonomi gig dan freelance (bebas) bakal membentuk sebuah perubahan dalam corak sosioekonomi negara. Data banci yang dilakukan 10 tahun sekali itu dapat menjadi garis panduan kepada perancangan pembangunan sosioekonomi serta dasar dan polisi kerajaan.

“Hal ini bakal memperlihatkan beberapa dasar kerajaan bakal digubal dalam melindungi golongan yang terjejas dari segi ekonomi,“ katanya dalam kenyataan.

Banci 2020, yang bermula kelmarin, adalah satu pengumpulan data komprehensif bagi membantu negara dalam menyusun keperluan dan merencana masa hadapan rakyat Malaysia yang lebih baik.

Pelaksanaan yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia itu akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula semalam hingga 30 September secara dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober dengan kaedah temu ramah bersemuka.

– BERNAMA