Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Capai 72 peratus, kerja tambah baik LRA dijangka siap malam ini

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air SSP3 (LRA SSP3) mencapai 72 peratus setakat jam 4.30 petang tadi dan ia lebih cepat daripada sasaran awal, kata pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor).

Abas Abdulah berkata ia meningkat 19 peratus berbanding tempoh dirancang dan proses penggantian aset itu dijangka siap jam 11 malam ini.

“Kerja penambahbaikan serta pemulihan loji dianggarkan selama 24 jam dan dimulakan jam 9 pagi tadi.

“Air Selangor beri jaminan gangguan bekalan air selama 80 jam ini akan pulih secara berperingkat mulai esok bergantung ketinggian kawasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Abas berkata henti tugas loji terbabit telah mengurangkan pengeluaran air bersih sebanyak 472 juta liter sehari berbanding kapasiti normal 800 juta liter sehari.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk peta kawasan mengalami gangguan air.