Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 15 kes baharu, satu kematian

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebanyak 15 kes baharu Covid-19 direkodkan di Malaysia hari ini dengan empat daripadanya jangkitan di luar negara dan bakinya penularan tempatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import yang dicatatkan itu membabitkan dua orang warganegara, satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk atas urusan kerja dan satu kes pasangan kepada rakyat Malaysia menjadikan angka keseluruhan 8,879 kes.

“Empat kes import tersebut adalah dari dua dari United Kingdom manakala masing-masing satu India dan Libya,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyatannya hari ini.

Daripada 11 kes penularan tempatan pula, lapan adalah warganegara Malaysia dengan lima di Sarawak membabitkan saringan kontak rapat kepada kes positif ke-8,743, saringan kendiri, saringan sebelum kembali bekerja manakala dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama negeri.

“Pecahan baki tiga kes membabitkan warganegara pula satu di Selangor iaitu saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, satu kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2, Sabah dan Johor,” katanya.

Tiga lagi kes jangkitan dalam negara bukan warganegara pula dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata angka kematian meningkat kepada 123 orang sehingga jam 12 tengah hari tadi selepas seorang warganegara Malaysia berusia 72 tahun iaitu pesakit ke-8,770 meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 17 Julai lalu.

Seramai tujuh pesakit sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,553 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi dengan 103 kes aktif kebolehjangkitan.

Tambah beliau, dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.