Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Sembilan kes baharu, lima pesakit pulih

SHAH ALAM, 18 JULAI: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara merekodkan sembilan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu 8,764, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat daripadanya kes import membabitkan tiga warganegara Malaysia dan baki warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

“Daripada lima kes penularan dalam negara, satu bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China) manakala baki membabitkan warga tempatan berlaku di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari tadi, lima kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 8,546 kes dengan kadar kesembuhan 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya satu kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 122 orang iaitu 1.39 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.