Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Manfaat ruang halaman rumah bercucuk tanam

SHAH ALAM, 28 JULAI: Rakyat di negeri ini diminta memanfaatkan ruang di kawasan halaman kediaman masing-masing dengan penanaman sayur-sayuran yang memberi hasil ketika penularan Covid-19.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata masyarakat boleh mempelbagaikan jenis tanaman untuk keluarga dan langkah itu sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap makanan dalam tin.

“Kita menggalakkan rakyat guna kaedah moden seperti hidrofonik kerana ia efektif bagi mendapatkan bekalan sayur-sayuran malah penjagaannya sangat mudah dan selamat daripada sebarang kesan pestisid.

“Hasil keluaran tanaman tersebut boleh membantu mengurangkan perbelanjaan keluarga kerana tidak perlu lagi mendapatkannya di kedai,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Sebelum ini, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memperluaskan kaedah penanaman seperti aquafonik dan hidrofonik kepada pekebun komuniti bagi meningkatkan hasil agro pertanian.

Katanya, sokongan dan khidmat nasihat akan diberikan bagi menggalakkan lebih ramai komuniti terutama di bandar untuk berkebun sekali gus merealisasikan pertanian agro bandar di negeri ini.