Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Sistem kesan identiti elak peniaga pasar salah guna lesen

PETALING JAYA, 3 JULAI: Selangor menyasarkan penggunaan sistem biometrik di pasar awam seluruh negeri menjelang 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata ketika ini hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat pengesahan identiti peniaga menggunakan kaedah tersebut.

“Memandangkan sistem ini tiada di tempat lain, maka kita tidak dapat mengenal pasti sama ada dia (peniaga) pemilik lesen sebenar atau sebaliknya.

“Kita beri tempoh selama dua tahun untuk selesaikan bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan meneruskan perniagaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pagi SS2 MBPJ di sini hari ini.

Rodziah turut memuji langkah MBPJ melaksanakan sistem tersebut bermula tahun lalu yang memudahkan pemantauan penguat kuasa di lapangan dan mengesan pemegang lesen.

“Hari ini terbukti mereka (peniaga) bukan sahaja mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, malah saya lihat tiada warga asing berniaga di sini,” katanya lagi.