Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA, MPSJ dan MPS kaji pelaksanaan sistem biometrik

SHAH ALAM, 8 JULAI: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dalam kajian melaksanakan sistem biometrik di pasar awam untuk mengesan penyalahgunaan lesen perniagaan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam berkata kaedah tersebut dapat membantu perkemaskan lagi perkhidmatan pelesenan.

“Kita masih berbincang untuk menggunakan sistem tersebut. Kita harap sistem itu dapat membantu perkemaskan lagi kecekapan untuk kesan salah guna lesen perniagaan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya pula memaklumkan pihaknya bercadang menggunakan sistem tersebut untuk memudahkan peniaga.

“Buat masa ini kita meletakkan syarat pemilik lesen sahaja dibenarkan perbaharui lesen. Kaedah ini juga menetapkan peniaga dan pembantu warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Fauzi Ishak menjelaskan pihaknya mengesan peniaga melanggar undang-undang dengan cara pemantauan dan penguatkuasaan sahaja dan sedang mengkaji pengunaan biometrik tersebut.

Sehingga 3 Julai lalu hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya menggunakan sistem biometrik di pasar awam.

Selangor menyasarkan penggunaan sistem itu di pasar awam seluruh negeri menjelang 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen terutama dalam kalangan warga asing.

Categories
EXCO SELANGOR

Sistem biometrik diperluas, kesan salah guna lesen peniaga

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Selangor mengkaji untuk memperluaskan penggunaan sistem biometrik di pasar awam bagi mengesan penyalahgunaan lesen perniagaan.

EXCO kerajaan tempatan berkata sistem yang bakal digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga mampu mengekang peniaga asing menjalankan perniagaan.

“Sebelum ini, setiap PBT sudah mempunyai kaedah tertentu untuk mengesan penyalahgunaan lesen oleh peniaga, tetapi kaedah sistem biometrik ini dilihat lebih berkesan.

“Untuk itu, setiap PBT akan membuat kajian terhadap penggunaan sistem berkenaan sesuai atau tidak digunakan,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi SelangorKini.

Sehingga 3 Julai lalu, hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang menggunakan sistem biometrik di pasar awam.

Selangor menyasarkan penggunaan sistem biometrik di pasar awam seluruh negeri itu menjelang 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Sistem kesan identiti elak peniaga pasar salah guna lesen

PETALING JAYA, 3 JULAI: Selangor menyasarkan penggunaan sistem biometrik di pasar awam seluruh negeri menjelang 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata ketika ini hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat pengesahan identiti peniaga menggunakan kaedah tersebut.

“Memandangkan sistem ini tiada di tempat lain, maka kita tidak dapat mengenal pasti sama ada dia (peniaga) pemilik lesen sebenar atau sebaliknya.

“Kita beri tempoh selama dua tahun untuk selesaikan bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan meneruskan perniagaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pagi SS2 MBPJ di sini hari ini.

Rodziah turut memuji langkah MBPJ melaksanakan sistem tersebut bermula tahun lalu yang memudahkan pemantauan penguat kuasa di lapangan dan mengesan pemegang lesen.

“Hari ini terbukti mereka (peniaga) bukan sahaja mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, malah saya lihat tiada warga asing berniaga di sini,” katanya lagi.