Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Boleh tambah kapasiti jemaah di masjid, surau

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan membenarkan masjid dan surau menambah kapasiti jemaah mengikut saiz dan ruang solat tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu termasuk di rumah ibadat bukan Islam selepas ia dipersetujui dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdullilah setakat ini, pemantauan pihak berkuasa mendapati kesemua masjid dan surau serta jemaah yang terlibat mematuhi SOP,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata bagi upacara keagamaan Kristian di gereja yang dijalankan dalam pelbagai bahasa ia dibenarkan berlangsung secara bergilir.

Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara membenarkan pembukaan semula rumah ibadat dengan jumlah terhad ketika PKP Pemulihan bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Kebenaran itu termasuk penganjuran semula kelas mengaji dan kuliah di masjid.