Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Masjid, surau langgar SOP ditutup serta-merta

SHAH ALAM, 23 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak teragak-agak menutup masjid dan surau yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP), kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata tindakan itu diambil bagi mengelak rumah ibadat menjadi tempat penularan wabak Covid-19.

“Jawatankuasa pemantau yang dianggotai Jais, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju tindakan tegas diambil terhadap masjid dan surau yang melanggar SOP.

“Kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor, peringatan saya adalah jika tidak mahu ditutup sila patuh arahan ditetapkan, kita sudah beri kelonggaran solat berjemaah, jadi jaga elok-elok,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 14 Mei, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membenarkan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di Selangor dengan jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. Bilangan tersebut kemudian ditambah kepada 40 orang berkuat kuasa 12 Jun lalu.

Pada 17 Julai baginda berkenan membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau ditambah mengikut jumlah kapasiti sebenar dengan penjarakan sosial 1.5 meter.