Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Labu mukim ke-52 di Selangor berstatus hijau

SHAH ALAM, 27 JULAI: Labu di Sepang menjadi mukim terbaharu di Selangor diisytihar zon hijau selepas mencatatkan sifar kes Covid-19 hari ini.

Perkembangan tersebut menjadikan 52 dari 56 mukim di negeri ini berstatus zon berkenaan, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Mengikut data dikongsi STFC, empat mukim berstatus kuning iaitu Dengkil di Sepang dengan tiga kes aktif manakala Cheras di Hulu Langat, Batu di Gombak dan Bukit Raja di Petaling masing-masing satu kes.

Pasukan itu turut mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung menyambut Aidiladha pada Jumaat supaya patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Pergerakan itu perlu dirancang sebaiknya mengikut SOP dan pengamalan norma baharu pada tahap terbaik. Anda tidak mahu terjadinya kluster Aidiladha pula yang akan mengakibatkan kesukaran kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) satu kes baharu direkodkan hari ini melibatkan kes import rakyat baru pulang dari Rusia.

Kes baharu Covid-19 di Malaysia kembali satu angka kepada tujuh kes hari ini selepas mencatatkan dua digit kes tiga hari berturut-turut, dengan empat daripada kes baharu mendapat jangkitan di luar negara dan baki penularan tempatan.