Categories
AGENSI SELANGOR

Pakar perunding dilantik bantu usahawan terjejas PKP

SHAH ALAM, 26 JULAI: Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melantik pakar perunding untuk memberi khidmat nasihat berkaitan pemasaran dan pengurusan kewangan kepada usahawan mengharungi cabaran perniagaan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pegawai korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Siti Zubaidah Abd Jabar berkata syarikat Arabian Gateway Technology (AGT) Sdn Bhd yang dilantik juga berperanan memberi penerangan berhubung peluang pembiayaan perniagaan kepada usahawan terlibat secara maya.

“Jadi, mereka (usahawan) yang bertekad mahu memulihkan semula pasaran perniagaan boleh mendaftar di www.xdebt.org untuk menyertainya.

“Program ini akan dapat menyebar luas perniagaan usahawan hasil bimbingan melalui khidmat pemasaran dan kewangan yang diberikan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 Julai lalu, perbadanan itu melancarkan Klinik Usahawan Selangor (KuSEL) yang dijangka dapat membantu 100,000 usahawan negeri ini berhubung pengurusan kewangan.

Program bermula Julai hingga Februari tahun hadapan menawarkan pusat sehenti bagi runding cara perniagaan dengan pendekatan secara individu dan berkumpulan.