Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar paling ramai ditangkap tunggang motosikal melulu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pelajar dalam lingkungan usia 16 hingga 20 tahun paling ramai ditangkap di sekitar Shah Alam kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kebanyakan kesalahan membabitkan lumba haram dikesan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam (Kesas) dan Guthrie.

“Aktiviti ini biasanya berlaku ketika jalan lengang dan tangkapan antara 12 tengah malam hingga 5 pagi menggunakan pelbagai cara supaya dapat dibanteras,” katanya dalam temu bual khas bersama SelangorKini pada 9 Julai lalu.

Sementara itu, katanya, seramai 55 individu ditangkap dengan 13 daripadanya didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Baharudin berkata tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan dibuat bersama pasukan risikan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.