Categories
AGENSI SELANGOR

Penjenamaan PPAS lonjak status antara terbaik di negara ini

SHAH ALAM, 16 JULAI: Penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berjaya mengangkat statusnya sebagai antara terbaik di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi 104 cawangan di seluruh negeri, PPAS menawarkan suasana ceria dengan pelbagai kemudahan untuk dikunjungi seisi keluarga.

“Perbadanan ini bakal meraikan jubli emas 50 tahun penubuhannya tidak lama lagi dan melalui pelbagai transformasi seiring dengan usaha Selangor ke arah mencapai Negeri Pintar 2025.

“Peredaran masa menyebabkan perpustakaan tidak boleh berkeadaan seperti berpuluh tahun lalu yang hanya dikunjungi ulat buku sebaliknya perlu berubah menjadi tempat pendidikan berasaskan keseronokan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Booksfly2u di Bangunan Annex hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bungkusan buku sebagai gimik Pelancaran Perkhidmatan Baharu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) “BooksFly2U” di Dewan Annexe, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini, orang ramai boleh meminjam buku menerusi dalam talian maksimum 10 naskhah dan PPAS akan menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran yang mengambil masa antara tiga hari hingga seminggu.

PPAS melakukan transformasi dengan memperkenalkan konsep ‘PPAS Rumah Keduaku’ berlandaskan empat fungsi iaitu perpustakaan sebagai pusat pembelajaran, pertemuan, rekreasi dan pembangunan modal insan.

Antaranya PPAS Raja Tun Uda di Shah Alam menyediakan pelbagai kemudahan serta tarikan untuk kanak-kanak seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Interaktif dan Zon Siber.

Beberapa PPAS terpilih menyediakan kemudahan sewa bilik aktiviti kanak-kanak, auditorium, makmal IT, dewan serba guna, bilik mesyuarat, latihan, seminar dan bilik menyusu bayi.