Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ada petunjuk suspek conteng mural pemimpin negara

SHAH ALAM, 22 JULAI: Polis menemui beberapa petunjuk bagi mengesan suspek yang menconteng lukisan potret pemimpin negara termasuk ketua pengarah kesihatan di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di Shah Alam, Isnin lalu.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed yakin pihaknya dapat menyelesaikan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Buat masa ini kita ada beberapa sasaran dan petunjuk. Siasatan diteruskan, namun tidak boleh dedahkan dahulu,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri bagi menangani masalah dadah di Selangor di sini hari ini.

Mural gergasi memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diconteng dengan kata-kata kesat menggunakan penyembur berwarna merah.

Turut terkesan potret Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.