Categories
AGENDA NASIONAL

Conteng mural: Polis ambil keterangan beberapa individu

SHAH ALAM, 11 OGOS: Beberapa individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menconteng mural gergasi pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Julai lepas, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan berikutan kesukaran untuk mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi kejadian yang didapati berkualiti rendah selain kawasan kejadian sedikit terpencil dan gelap.

“Namun begitu, kita ada cara lain untuk menjejaki suspek terlibat dan serahkan kepada kami untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Neighbourhood Watch’, hari ini.

Dalam kejadian 20 Julai lepas, mural gergasi memaparkan potret antaranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Kejadian laku musnah ke atas mural hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27, disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Baharudin turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya memanfaatkan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) kerana identiti mereka akan sentiasa dilindungi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ada petunjuk suspek conteng mural pemimpin negara

SHAH ALAM, 22 JULAI: Polis menemui beberapa petunjuk bagi mengesan suspek yang menconteng lukisan potret pemimpin negara termasuk ketua pengarah kesihatan di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di Shah Alam, Isnin lalu.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed yakin pihaknya dapat menyelesaikan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Buat masa ini kita ada beberapa sasaran dan petunjuk. Siasatan diteruskan, namun tidak boleh dedahkan dahulu,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Penyelarasan Petugas Khas Agensi Kerajaan Negeri bagi menangani masalah dadah di Selangor di sini hari ini.

Mural gergasi memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diconteng dengan kata-kata kesat menggunakan penyembur berwarna merah.

Turut terkesan potret Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penconteng mural alami masalah psikologi – ahli akademik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Tindakan menconteng mural gergasi wajah pemimpin negara menunjukkan pelaku mengalami masalah psikologi.

Timbalan naib canselor pembangunan pelajar dan jaringan komuniti Universiti Selangor (Unisel) menjelaskan perkataan kesat itu seolah-olah mahu meluahkan perasaan atau menarik perhatian umum semata-mata.

“Kejadian tempoh hari adalah tidak bertanggungjawab, tambahan mural dihasilkan memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong terutamanya dan tokoh yang terlibat ketika kita berhadapan Covid-19.

“Tindakan ini tidak mengejutkan kerana aspek laku musnah bergantung kepada beberapa elemen seperti tidak suka melihat dan merosakkan objek milik orang lain, berasa cemburu atau dendam,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh kepada SelangorKini.

Beliau berkata tindakan itu bukan perkara baharu tetapi ia perlu dicegah kerana boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

Mural di sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 memaparkan potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk beberapa pemimpin Malaysia, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah pada 20 Julai lalu.

Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Conteng mural: Dakwa pemimpin PAKATAN terlibat hanya tanggapan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dakwaan segelintir pihak bahawa kegiatan laku musnah terhadap mural memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) hanya tanggapan untuk menyalahkan pihak lain.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau turut bersama pemimpin negara mengecam perbuatan tidak mencerminkan adab dan tatasusila masyarakat selain menggesa tindakan tegas diambil kepada pelaku berkenaan.

“Saya faham ada kamera litar tertutup (CCTV) malah kita benarkan polis buat siasatan dan kenal pasti pelaku. Semua pemimpin dalam PAKATAN dan negara dari parti lain menunjukkan komitmen sama mengecam tindakan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mural gergasi dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini memaparkan potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin tertinggi negara termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah semalam.

Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Dua wanita disyaki conteng mural pemimpin negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.

“Kami sedang mengesan mereka… Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira 8 pagi tadi.

Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB kecam conteng mural Dr Noor Hisham, pemimpin negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengecam keras perbuatan menconteng mural ketua pengarah kesihatan dan pemimpin negara dengan kata-kata kesat di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme yang berlaku di Seksyen U12 Shah Alam. Saya menggesa pihak MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan polis untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya,” tulisnya hari ini.

Menurut portal Astro Awani, mural gergasi yang memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan tidak senonoh.

Turut terkesan potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mural berkenaan dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat mural tersebut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda baginda.

Dr Noor Hisham turut bergambar bersama mural potretnya dan menghargai hasil seni tempatan itu.