Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru 1,400 individu gagal lakukan saringan kedua Covid-19

SHAH ALAM, 1 JULAI: Polis diarah memburu kira-kira 1,400 individu yang gagal melakukan ujian saringan kedua Covid-19 sebelum tamat kuarantin dua minggu di rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu tersebut wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.

“Sekiranya masih degil, kita (kerajaan) akan hantar polis untuk mencari mereka,” katanya yang menegaskan tindakan mengikut Akta 342.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata individu yang pulang dari luar negara boleh menjalani kuarantin di rumah dengan mematuhi beberapa syarat.

“Antaranya memakai gelang tangan dan melakukan ujian saringan. Selepas didapati bebas Covid-19, kita boleh potong gelang tangan tersebut dan mereka bebas melakukan aktiviti lain yang dibenarkan,” katanya lagi.

Sejak 10 Jun hingga semalam, seramai 7,611 orang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, seramai 36 dibawa ke hospital kerana positif Covid-19 manakala selebihnya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.