Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tangkap, dakwa individu gagal buat saringan kedua Covid-19 esok

SHAH ALAM, 26 JULAI: Mulai esok, individu yang gagal menjalani ujian saringan kedua Covid-19 akan ditangkap dan didakwa, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil pihak polis terhadap mereka yang diarahkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara.

“Mulai esok, polis akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah individu-individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 ketika menjalani kuarantin di rumah.

“Individu terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata lebih 2,800 individu yang menjalani kuarantin di rumah gagal melakukan saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 selepas pulang dari luar negara.