Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sifar kes Covid-19 di Selangor, kali ketujuh sejak PKPP

SHAH ALAM, 28 JULAI: Di sebalik peningkatan drastik kes baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini, Selangor mencatat sifar kes buat kali ketujuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS), perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini 2,119.

“Bilangan kes pulih dan dibenarkan keluar hospital setakat ini 1,900 orang manakala angka korban kekal 24,” maklumnya.

Empat daerah masih berstatus zon kuning susulan beberapa kes aktif dikesan iaitu Sepang dengan tiga kes diikuti Hulu Langat, Petaling dan Gombak masing-masing satu.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa masyarakat supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak kenaikan mendadak kes wabak.

“Penyebaran virus Covid-19 amat memerlukan kerjasama semua pihak dan ia bukan usaha perseorangan.

“Setiap individu wajib mematuhi SOP dikuatkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan STFC. Jangan jadi punca negara kita tergendala semula!” katanya menerusi Facebook.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 39 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara iaitu yang tertinggi sejak 15 Jun lalu, termasuk 28 kes melibatkan penularan tempatan.