Categories
ADN SELANGOR

ADN sumbang RM15,000 bantu baik pulih rumah usang

SHAH ALAM, 18 OGOS: Ahli Dewan Negeri Morib menghulurkan sumbang RM15,000 bagi membaik pulih rumah usang seorang ibu tunggal di kampung Kanchong Darat, Banting.

Hasnul Baharuddin berkata pihaknya dengan Wanita Amanah Selangor dan beberapa pemuda parti itu bersama gotong-royong membaik pulih rumah berkenaan.

“Saya dimaklumkan ketua kampung di sini mengenai nasib keluarga ini dan keadaan rumah itu sangat kritikal kerana tiada dinding di satu bahagian termasuk atap bocor. Apabila hujan, dalam rumah mereka dipenuhi air.

“Difahamkan juga Masrubi Ruhani (ibu tunggal) ini membesarkan empat anak yang masih bersekolah dengan hasil pendapatan bekerja di kedai makan berhampiran rumahnya,” kata beliau kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Hasnul memaklumkan Masrubi juga dibantu untuk mendapatkan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor dan didaftarkan sebagai asnaf miskin.

“Saya akan memanjangkan perkara ini kepada Lembaga Zakat bahagian Kuala Langat juga untuk memohon keluarga ini didaftarkan sebagai golongan asnaf.

“Saya harap dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak meringankan beban Masrubi dan semoga kehidupan mereka sekeluarga lebih sempurna,” jelasnya.