Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor lancar inisiatif bantu golongan terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan dua inisiatif berjumlah RM200,000 bagi membantu golongan kurang mampu akibat penularan Covid-19.

Pengarahnya, Abas Abdullah berkata inisiatif membabitkan kursus kemahiran perantis tukang paip serta khidmat pembaikan paip dalaman itu disasarkan kepada penduduk yang menetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Melalui kursus kemahiran tukang paip, peserta menjalani 25 peratus latihan teori dan 75 peratus praktikal dalam bidang perkhidmatan dan pembaikan utiliti air. Mereka akan terima sijil dari Akademi Binaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memudahkan urusan mendapat kerja.

“Untuk inisiatif khidmat perbaikan paip dalaman, Air Selangor mengutamakan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah kos rendah dan luar bandar yang berdepan masalah kewangan. Kerja pembaikan dilakukan tukang paip berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu yang layak boleh membuat permohonan dengan memuat turun borang pendaftaran di laman sesawang Air Selangor.

Permohonan kursus kemahiran tukang paip dibuka hari ini hingga 20 Oktober depan.