Categories
AGENSI SELANGOR

Akademi Kepimpinan Wanita gilap potensi dalam politik, pentadbiran

SHAH ALAM, 29 OGOS: Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor menggilap bakat peserta mendalami lapangan politik dan kerja sosial di peringkat negeri.

Ketua pegawai eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata peserta dilatih oleh mentor masing-masing supaya lebih berani dan yakin selain cekap memimpin sesebuah organisasi.

“Sambutan diterima amat menggalakkan, namun jumlah terpaksa dihadkan 100 orang. Program menyasarkan peserta berusia 21 hingga 50 tahun yang berasal atau bermastautin di Selangor lebih tiga tahun,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki ketika dihubungi.

Beliau berkata akademi tersebut mempunyai empat modul merangkumi 12 subjek gabungan kuliah fizikal, pembelajaran dalam talian dan kerja lapangan selama 18 bulan.

“Menariknya usai tamat pembelajaran, mereka berpeluang sambung atau memohon pekerjaan di Selangor atau mana-mana pusat khidmat masyarakat mentor masing-masing,” jelas Siti Kamariah lagi.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 untuk melatih 100 pelajar yang boleh memohon biasiswa pembelajaran sepanjang hayat di bawah IWB dengan kerjasama Open University Malaysia.