Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin: Martabatkan budaya, pelihara adab insani

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berazam untuk mengangkat martabat seni dan budaya sekali gus memelihara adab keinsanan.

Dalam Majlis Baca Puisi Merdeka ke-22 anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) malam tadi, beliau berkata eleman itu perlu dikekalkan walau segelintir pihak menganggapnya sekadar “penyendal” kehidupan.

“Budaya baca puisi ini, saya kira masih perlu dalam masyarakat kita yang kadang kala sudah lepas batas, lepas batas adab, lepas adab bahasa, lepas adab kehidupan dan keinsanan.

“Insya-Allah selagi apa yang mampu, sesuai dengan kecenderungan dan minat saya selaku individu dan Dato’ Menteri Besar, saya tidak akan mengabaikan atau  menyisihkan (seni dan budaya),” katanya.

Amirudin turut mendeklamasi puisi berjudul ‘Di halaman kembang sepatu ini, selamanya sejahteralah warga’ karya Allahyarham Sazalee Yacob dan menyempurnakan pelancaran antologi ‘Puisi untuk Maharani’ karya Datin Barupawati Utamaju dalam program di Rumah Pena itu.

Hadir sama Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan Presiden Pena Dr Saleeh Rahamad serta ramai penyair terkenal.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu, Dendang Anak Banting ketika Majlis Baca Puisi Merdeka ke-22 di Rumah Pena Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Benut, Johor menyifatkan wakil rakyat Sungai Tua itu meminati puisi sekalipun belajar aliran sains.

Malah, Mohd Rosli Bakir, 63, berkata Amirudin juga mewakili daerah dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan ketika bersekolah di situ sekitar 90-an.

“Dia (Amirudin) mempunyai disiplin yang tinggi. Keinginan untuk mencapai sesuatu juga tinggi. Saya suka orang bersikap sedemikian,” katanya ketika ditemui dalam program sama.

Pada 2015, Amirudin sebagai EXCO budaya memperkenalkan anugerah Hadiah Sastera Selangor yang menilai cerpen, sajak dan esei dalam SelangorKini, sebuah akhbar rasmi Kerajaan Selangor.

Susulan pelantikannya sebagai Dato’ Menteri Besar dua tahun lalu, anugerah itu diteruskan sehingga kini dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penulis khususnya anak muda.