Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KDNK suku ketiga 2020 dijangka terus kuncup – RHB Investment

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Walaupun fasa buruk bagi Malaysia sudah berakhir berikutan kelonggaran pelaksanaan sekatan bagi membendung pandemik Covid-19, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini dijangkakan terus menguncup, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan semalam, bank pelaburan itu berkata ekonomi Malaysia masih beroperasi di bawah kapasiti penuhnya.

“Selain itu, risiko gelombang baharu Covid-19 berkemungkinan pelaksanaan semula langkah-langkah lebih tegas yang menjejaskan momentum pertumbuhan bagi kemajuan masa depan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada -4.0 peratus untuk 2020,” katanya.

Pertumbuhan KDNK benar Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua yang merupakan prestasi terburuk dan mengatasi paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada -11.2 peratus pada suku kedua 1998.

Selain itu, pertumbuhan suku ke suku juga susut ketara pada -15.9 peratus.

RHB Investment berkata penyusutan pertumbuhan yang ketara itu sememangnya dijangkakan berikutan pengurangan mendadak dicatatkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) serta petunjuk-petunjuk lain.

“Dari segi data KDNK, sektor-sektor berkaitan pelancongan (pengangkutan, penginapan dan peruncitan) ternyata menanggung impak terburuk akibat pelaksanakan sekatan pergerakan itu.

“Sebaliknya, sektor-sektor berkaitan utiliti, kewangan, komunikasi, elektrikal & elektronik didapati lebih terkawal berikutan pandemik itu,” katanya.

Dari segi perbelanjaan, penguncupan besar itu dapat dilihat dalam penggunaan swasta, pelabura dan eksport bersih namun ini telah diimbangi oleh sumbangan daripada penggunaan perbelanjaan kerajaan yang positif, demikian menurut bank pelaburan itu.

Penggunaan swasta susut 18.5 peratus yang memaparkan permintaan pengguna yang lebih terhad berikutan langkah-langkah sekatan pergerakan.

Pelaburan juga merosot mendadak (-28.9 peratus) manakala pelaburan swasta dan awam berkurangan masing-masing 26.4 peratus dan 38.7 peratus.

-BERNAMA