Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar seru kerajaan atasi masalah pengangguran belia

SHAH ALAM, 12 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia yang dijangka meningkat susulan pertambahan graduan akibat kemelut ekonomi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata angka terkini pengangguran mencecah 14.2 peratus pada Mei, hampir tiga kali ganda kepada paras purata nasional.

“Ramai belia hari ini yang sedang bertungkus-lumus mencari pekerjaan, mengalami kesukaran dalam memulakan perniagaan dan juga tidak berupaya untuk menyimpan dengan kadar yang munasabah bagi mendukung perbelanjaan saat ini dan juga masa depan.

“Ini adalah akibat dan kesan daripada permasalahan seperti gaji yang tidak meningkat dan kos sara hidup yang cukup membebankan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Sedunia di Facebook hari ini.

Beliau menambah belia perlu diberikan peluang menceburi bidang digital kerana mereka berpotensi mencipta kegemilangan namun kurang mendapat sokongan selain kekurangan dana.

Katanya, pemimpin tidak boleh meremehkan semangat aktivis dan potensi golongan itu sebaliknya menyediakan peluang yang tepat bagi memanfaatkan kemampuan mereka.