Categories
AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini dengan aktiviti belian saham berharga rendah semalam masih diteruskan selain menjejaki aliran peningkatan pasaran saham Amerika Syarikat.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit sebanyak 0.13 mata kepada 1,576.07 daripada 1,576.07 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka dengan menokok 2.88 mata kepada 1,578.82 pada 9 pagi ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 364 berbanding 121 manakala 286 kaunter tidak berubah, 1,192 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 814.63 juta saham bernilai RM429.63 juta.

Indeks Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 0.6 peratus yang sebahagian besarnya dipacu oleh saham-saham Apple serta perkembangan membabitkan rundingan pakej rangsangan yang dilihat mampu menampan ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China yang terus meruncing.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menyifatkan keadaan pasaran belum stabil berikutan sikap pelabur yang kekal berhati-hati menjelang pengumuman hasil pendapatan suku tahunan pada minggu ini.

“Kami juga melihat aktiviti belian secara bergilir-gilir membabitkan saham berharga rendah yang menguasai sentimen pasaran dan menyebabkan jumlah dagangan mencecah paras tertinggi baharu (pada Isnin),” kata firma pembrokeran dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurutnya, walaupun sektor teknologi dan penjagaan kesihatan meneruskan momentum peningkatannya namun penggiat komoditi sektor perladangan dan tenaga juga tidak kurang menjadi tumpuan apabila harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM2,800 satu tan manakala harga minyak mentah melonjak ke paras hampir tertinggi dalam masa lima bulan.

Selain itu, harga emas yang turut melonjak kepada AS$2,000 satu auns (1 auns = 28.34 gram) juga akan menyaksikan peningkatan aktiviti membabitkan penggiat berkaitan emas.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM7.51, Top Glove turun enam sen kepada RM28.30, Hartalega menokok 20 sen kepada RM20.14, Public Bank turun lapan sen kepada RM16.62 manakala Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing naik empat sen kepada RM10.98 dan RM5.86.

Bagi saham paling aktif, Hubline susut satu sen kepada lapan sen. AT turun setengah sen kepada 10 sen manakala Compugates meningkat satu sen kepada tiga sen.

Bagi saham paling untung, Nestle naik 80 sen kepada RM139.80, Rubberex naik 40 sen kepada RM7.12 dan Careplus meningkat 31 sen kepada RM5.68.

Kaunter paling rugi menyaksikan Kumpulan PPB turun 34 sen kepada RM18.52, Kossan Rubber rugi 24 sen kepada RM18.84 dan Supermax turun 22 sen kepada RM22.20.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 12.83 mata kepada 11,347.40, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 25.04 mata pada 13,471.53 dan Indeks FBMT 100 meraih 7.04 mata kepada 11,161.08.

FBM 70 meningkat 33.25 mata kepada 14,775.05 manakala FBM ACE melonjak 183.85 mata kepada 9,844.03.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.85 mata kepada 139.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya susut 1.78 mata kepada 12.880.27 dan Indeks Perladangan naik 2.84 mata kepada 7.039.59.

– BERNAMA