Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Enam kes baharu, tujuh pesakit sembuh

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebanyak enam kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini melibatkan lima kes tempatan dan satu import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes tempatan berlaku di Kedah iaitu tiga kes melibatkan Kluster Tawar serta masing-masing satu kes saringan bergejala dan jangkitan pernafasan akut teruk di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 9,291 kes dengan 188 daripadanya merupakan kes aktif.

“Sehingga kini sebanyak sembilan kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata sebanyak tujuh kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,978 kes atau 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Tiada pertambahan kematian direkodkan hari ini dan jumlahnya kekal 125 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.