Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor catat kes tunggal babitkan rakyat tempatan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor mencatatkan satu kes positif Covid-19 hari ini membabitkan warganegara Malaysia menerusi saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh.

Perkembangan itu menyaksikan aliran kes kembali menurun berbanding lima kes membabitkan jangkitan dari luar negara semalam.

“Jangan meninggalkan norma baharu dan rekod kemasukan pengunjung ke premis dengan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Jangan culas!” kata Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitter hari ini.

Pertambahan kes tunggal itu menjadikan jumlah keseluruhan di Selangor adalah 2,150.

Sebanyak 12 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan 10 penularan tempatan dan dua jangkitan dari luar negara.

Semua kes tempatan berkenaan membabitkan warganegara Malaysia manakala kes import adalah bukan warganegara dari Syiria dan Filipina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.