Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO seru bekas pesakit Covid-19 mohon insentif RM1,000

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Selangor menyeru lebih ramai bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat ini hanya 238 individu mendapat manfaat insentif Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu, yang disifatkan masih rendah.

“Jumlah permohonan agak sedikit kerana Kerajaan Negeri menghadapi kekangan untuk mendapat data pesakit, justeru kita berharap doktor atau petugas Kementerian Kesihatan maklumkan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.